Nyamuk aedes betina merupakan agen penularan penyakit demam denggi |
Penyakit demam denggi adalah satu penyakit berjangkit yang sangat merbahaya dan boleh membawa maut. Bermula dengan satu gigitan nyamuk Aedes betina, penawar bagi virus flavivirus yang menjadi punca demam denggi sejak 232 tahun lalu, masih belum ditemui hingga ke hari ini.
Virus ini akan terpendam di dalam badan pesakit, puratanya selama empat hingga enam hari sebelum mangsa jangkitan menunjukkan tanda-tanda seperti sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan bacaan pada sel darah pembeku atau platelet. Lazimnya, sekitar lima hari selepas digigit nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas diiringi dengan simptom.
Kemunculan ruam-ruam merah pada kulit adalah salah satu tanda anda diserang demam denggi! |
Demam denggi klasik berlarutan selama enam hingga tujuh hari dengan demam kembali memuncak pada akhir demam, ketika pesakit beransur sembuh. Secara klinikalnya, bilangan platelet akan turun sehingga hilang demam diikuti dengan kehilangan bendalir plasma darah dari salur darah ke dalam tisu perantara atau ruang ketiga di antara selaput paru-paru, ruang peritoneum dan sebagainya kerana kapilari darah menjadi rapuh.
Pada peringkat ini pesakit terdedah kepada renjatan dan risiko perdarahan. Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa. Pada fasa pertama iaitu pada hari pertama hingga hari ketujuh jangkitan, mangsa berisiko mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan. Memasuki fasa kedua atau fasa kritikal iaitu hari ketiga hingga hari ketujuh jangkitan, demam awal bagi sesetengah pesakit mungkin telah reda.
Pendarahan pada gusi pesakit demam denggi berdarah. |
Namun, dalam segelintir kes serius, kebocoran kapilari darah akan berlaku dalam jangka masa pendek. Tambahan, terdapat empat kategori demam denggi iaitu Denggi Jenis 1, 2, 3 dan 4. Kebanyakan mangsa menyangka diri mereka kebal selepas serangan demam denggi kali pertama.
Hakikatnya, hampir 90 peratus kes jangkitan sekunder berlaku kepada mereka yang pernah mendapat denggi sebelum ini. Serangan kali kedua biasanya lebih teruk kerana imunisasi tubuh tidak hadir untuk semua jenis denggi. Lantaran itu, pesakit demam denggi perlu melindungi diri daripada serangan kali kedua kerana ia mungkin memberi kesan lebih serius sehingga boleh membawa maut.
Sebenarnya, sukar untuk membezakan di antara demam disebabkan penyakit virus lain dengan demam denggi atau demam denggi berdarah. Untuk mengesahkan pesakit itu diserang demam denggi atau tidak, doktor akan melakukan ujian sel darah platelet. Jika jumlahnya kurang daripada 150,000 untuk setiap milimeter padu, dia akan disuspek menghidap demam denggi.
Selepas itu, ujian serologi yang dikenali sebagai kaedah ELISA akan dilakukan dalam makmal untuk mengesan antibodi khusus dalam serum pesakit lima hari selepas menghidap demam. Jika perlu, ujian tersebut harus diulang selepas dua hingga tiga minggu.