Di Britain, satu daripada tujuh orang penduduk di negara itu dilaporkan menghidap migrain. Keadaan itu telah menjejaskan ekonomi kebanyakan syarikat kerana ramai kakitangan mereka terpaksa mengambil cuti sakit.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila kerajaan di negara itu membelanjakan kira-kira AS$2.3 bilion (RM9.9 bilion) untuk merawat penyakit tersebut.
Sehingga kini, tiada rawatan khusus yang dapat diberikan kepada pesakit migrain. Migrain berasal daripada perkataan Greek iaitu Hemikrania yang bermaksud sakit pada sebelah tengkorak atau dikenali sebagai sakit kepala vaskular.
Lazimnya, migrain hanya menyerang sekali dalam tempoh beberapa hari, minggu atau langsung tidak dirasai selama berbulan-bulan. Namun, jika ia mula menyerang, penyakit itu mampu berlarutan selama sekurang-kurangnya satu hingga empat jam atau paling teruk sehingga dua hari.
Berbeza dengan sakit kepala biasa, efeknya pada kedua-dua belah kepala dan kebiasaannya disebabkan oleh tekanan seperti masalah di tempat kerja atau ketika memandu dalam tempoh yang lama.
Profesor Neurologi Sekolah Perubatan Harvard, Elizabeth Loder berkata, walaupun migrain sudah wujud untuk satu tempoh yang lama, sehingga kini tiada rawatan atau ubat khusus dapat mengurangkan risiko itu.
“Migrain merupakan penyakit yang tidak asing lagi, ia sudah menyerang manusia sejak beberapa dekad lalu.
“Bagaimanapun, masih tiada rawatan khusus yang dapat diberikan kepada pesakit itu,” katanya.
Sehingga kini, banyak syarikat-syarikat farmaseutikal yang masih membincangkan mengenai masalah itu. Malah, wang banyak dihabiskan ke atas kajian-kajian yang dijalankan tetapi masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Lebih menyedihkan apabila semakin hari, dana untuk menjalankan kajian tentang migrain semakin susut kerana tidak banyak syarikat kerajaan atau swasta yang berminat melaburkan wang ke atas penyelidikan yang dijalankan.
Sementara itu, Perunding Neurologi Hospital Universiti North Midlands, Britain merangkap pemegang amanah Migrain Trust, Brendan Davies berkata, tiada rawatan migrain terbaru yang dibangunkan sejak awal 1990-an.
“Pesakit migrain perlukan antibodi yang kuat untuk melawan penyakit itu.
“Apa yang boleh dilakukan, pesakit perlu menguruskan rasa sakit dengan bijak dan ia seharusnya bermula dengan diri sendiri,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, jika tertekan, pesakit perlu mencari jalan untuk menghilangkan stres itu dengan segera. Tambahnya, berehat, senaman pernafasan, mendengar muzik kegemaran dan senaman ringan adalah antara cara untuk mengurangkan migrain.
“Jika kamu merokok dan minum arak, tolonglah kurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, antara tanda-tanda seseorang itu menghidap migrain adalah mereka berasa sakit kepala amat sangat dan hanya berdenyut pada salah satu bahagian. Selain itu, terdapat beberapa simptom tertentu seperti mual, terasa seperti mahu pitam dan rasa sakitnya dari sederhana ke situasi amat teruk.
Pesakit juga akan berasa sensitif pada sebarang bunyi, persekitaran terasa bergerak-gerak seperti menaiki bot, badan berpeluh dan mendapati kulit terutamanya keliling mata ataupun dahi kemerah-merahan. Migrain boleh menyerang kedua-dua jantina tetapi statistik menunjukkan bahawa ia lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita.
“Ini mungkin disebabkan oleh perubahan hormon yang dialami wanita semasa haid.
“Atau mungkin kerana wanita lebih gemar berjumpa doktor berbanding lelaki,” ujar Loder dalam nada sinis.
Sementara itu, satu kajian di Amerika Syarikat mendapati, jika seseorang itu diserang migrain sekali dalam tempoh sebulan, ini bermakna risiko untuk mendapat serangan jantung meningkat 50 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan orang yang tidak pernah mengalami migrain.
Walaupun penyakit migrain belum difahami sepenuhnya, doktor mengetahui ia melibatkan penguncupan dan pengembangan saluran darah ke otak.
Langkah terbaik untuk mengurangkan migrain adalah dengan mengamalkan diet pemakanan yang sihat. Pakar diet, Max Tomlinson yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pemakanan berkata, mengambil makanan berkhasiat dan mendapat rehat yang cukup dapat mengelakkan migrain atau sekurang-kurangnya boleh meredakan penyakit itu.
“Serangan migrain juga boleh disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak sepatutnya seperti kafein berlebihan.
“Berhati-hati dengan kafein kerana ia boleh menyebabkan saluran darah membesar dan cenderung untuk sakit kepala,” jelasnya.