SELAIN digunakan
sebagai salah satu bahan penting dalam masakan terutama mereneh sup,
saderi juga enak dimakan mentah dan sesuai dijadikan snek bagi mereka
yang mengamalkan pemakanan diet seimbang kerana kalorinya yang rendah.
Mengandungi asid folik, kalium, fosforus, kalsium, karbohidrat, protein, serat pemakanan, vitamin A, vitamin b-kompleks, vitamin C dan vitamin E, saderi sememangnya diakui mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan.
Saderi yang kaya dengan sumber antioksidan turut mengandungi fitonutrien seperti asid fenolik, flavonols, dihydrostilbenoids, flavones, furanocoumarins dan phytosterols.
Manfaat khasiat saderi dipercayai dapat membantu di dalam mengurangkan masalah arteri yang tersumbat akibat pengumpulan kolesterol, bertindak sebagai antirematik, penenang, bersifat meluruhkan air kencing dan antiseptik.
Pengambilan saderi juga dapat membantu dalam pengeluaran asam urat dari tubuh, pembersih darah, menghentikan pendarahan dan menurunkan tekanan darah.
Di bahagian daun saderi, terdapat pelbagai sumber mineral seperti kalsium, besi, natrium dan kalium yang lebih banyak berbanding di bahagian batangnya. Setiap pengambilan 100 gram saderi menyediakan 1.6 gram serat makanan.
Bagi mereka yang mengalami demam denggi, kekejangan otot, sakit sendi, perut berangin dan sakit perut boleh menggunakan saderi untuk kaedah perawatan. Caranya dengan meminum air rebusan saderi.
Air rebusan atau jus saderi juga boleh dicampur dengan minuman lain seperti susu untuk membantu mengatasi masalah asma, batuk dan menghilangkan kahak di dalam paru-paru dengan meminumnya ketika perut kosong. Memakan saderi yang mentah juga dipercayai dapat membantu meransang aktiviti sistem saraf.