Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, melalui penyelidikan kaji serangga oleh institut itu, 90 peratus daripada 6,000 pesakit diabetes yang dirawat menggunakan terapi itu telah diselamatkan daripada terpaksa menjalani amputasi.
"Saya difahamkan kadar kehilangan anggota telah berkurang dengan drastiknya melalui terapi ini dan ia merupakan faedah langsung yang diperolehi oleh orang ramai hasil penyelidikan IMR.
"Oleh itu, saya berharap lebih ramai penyelidik IMR dapat menghasilkan groundbreaking research seperti ini supaya dapat membantu meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2018 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah IMR Datuk Dr Fadzilah Kamaludin.
Dalam pada itu, Dr Lee berkata sejarah bioperubatan di Malaysia bermula pada tahun 1900 dengan penubuhan Institut Patologi oleh British, yang kini  dikenali sebagai IMR, untuk memberi fokus kepada penyelidikan bagi rawatan dan pencegahan wabak beri-beri serta demam malaria.
Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai agar memberi sokongan dengan mendaftar sebagai penderma untuk Malaysian Stem Cell Registry (MSCR) bagi rawatan pemindahan sel stem darah yang dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Alergi dan Imunologi di IMR. - Bernama